|
MEMORANDUM BERKENAAN ISU-ISU PERTUKARAN AGAMA
Maka Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (ringkasnya MUAFAKAT) mendesak pihak Kerajaan supaya: [1] Menerusi Jabatan-Jabatan Agama yang berkenaan mempermudahkan, melicinkan serta memperkemaskan lagi proses pertukaran agama bagi orang bukan Islam yang mahu memeluk agama Islam, khususnya berhubung dengan urusan pendaftaran saudara-saudara baru Islam; [2] Memastikan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan-Jabatan Agama di semua negeri berkerjasama secara yang lebih erat lagi bagi memastikan proses pertukaran butir-butir nama dan agama dalam kad pengenalan untuk saudara-saudara baru menjadi lebih mudah dan lancar demi menghapuskan kerenah birokrasi yang banyak dialami oleh saudara-saudara baru selama ini; [3] Menyediakan segala kemudahan, bantuan dan bimbingan yang diperlukan dari segi kebendaan dan moral untuk saudara-saudara baru Islam bagi membolehkan mereka hidup selesa sebagai orang Islam dalam suasana tenteram dan aman damai tanpa ancaman, gangguan atau diskriminasi daripada mana-mana pihak; pihak berkuasa hendaklah memandang sirius kes-kes ancaman terhadap nyawa saudara baru yang pernah berlaku di masa-masa yang lepas; [4] Tidak memperkenalkan undang-undang baru yang mewajibkan orang bukan Islam berumur 18 tahun ke atas memaklumkan kepada ahli keluarga terdekatnya tentang keputusannya memeluk agama Islam sebagai syarat pendaftaran di Jabatan-Jabatan Agama. Pihak berkuasa hendaklah menghormati hak asasi saudara baru Islam untuk bebas menentukan sendiri masa yang beliau fikirkan sesuai bagi membuat pemakluman tersebut; dalam hal ini hak seseorang saudara baru Islam mengatasi hak sesiapa juga termasuklah hak ahli keluarganya yang bukan Islam; [5] Dalam kes di mana individu yang hendak memeluk Islam itu adalah seorang yang sudah beristeri atau bersuami pihak Jabatan Agama hendaklah menanganinya sebagai kes paling utama (“top priority”) yang perlu diselenggarakan secepat yang mungkin. Jabatan agama yang berkenaan bertanggungjawab menyelesaikan semua masalah yang timbul daripada pertukaran agama kepada agama Islam itu bermula dengan urusan pendaftaran sebagai saudara baru hinggalah kepada urusan pemberitahuan kepada pasangannya atau keluarganya. Di antara isu-isu pasca pertukaran agama yang perlu ditangani sebaik-baik dan seadil-adilnya selaras dengan roh keadilan agama Islam ialah status agama anak/anak-anak di bawah 18 tahun dan harta milik sah si saudara baru berkenaan di sisi undang-undang syariah [6] Mempertahankan bidang kuasa mahkamah syariah sebagai pemutus muktamad status agama seseorang yang dikatakan beragama Islam tanpa dicabar oleh mahkamah sivil; jika berlaku kematian kepada seseorang mualaf sedangkan pihak keluarga bukan Islam si mati masih belum dimaklumkan tentang pertukaran agama asalnya kepada agama Islam maka adalah wajar pihak keluarga bukan Islam si mati diberi peluang untuk hadir dan mendapat penjelasan di mahkamah syariah tentang bukti-bukti kukuh pertukaran agama si mati; [7] Menerusi Jabatan-Jabatan Agama benar-benar menguatkuasakan undang-undang sedia ada yang melarang pihak bukan Islam menyebar ajaran agama masing-masing kepada orang Islam; MUAFAKAT dukacita melihat di kebelakangan ini undang-undang ini tidak lagi dihiraukan oleh golongan-golongan tertentu di kalangan penyebar-penyebar agama bukan Islam; pihak bukan Islam hendaklah menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan undang-undang tersebut demi memelihara ketenteraman awam; Sekiranya cadangan-cadangan tersebut di atas dapat dilaksanakan MUAFAKAT yakin isu-isu yang biasanya timbul daripada pertukaran agama seseorang kepada agama Islam seperti yang terjadi dalam kes kontroversi Allahyarham Muhammad Abdullah (alias M. Moorthy) tidak akan berulang lagi.
Ditandatangani: Profesor Emeritus Dr Osman Bakar Diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 10 Muharam 1427 bersamaan 9 Februari 2006 |