KENYATAAN AKHBAR 2/06 – SERANGAN ISRAEL TERHADAP LEBANON
MUAFAKAT mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kejam dan zalim rejim zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap Labnon yang mengakibatkan pembunuhan lebih 60 orang awam, mencederakan beribu penduduk yang tidak berdosa dan mengakibatkan kemusnahan rumah kediaman, hartabenda dan infrastruktur awam.
Ini adalah tindakan kejam yang kesekian kalinya yang telah dilakukan oleh rejim Israel terhadap Labnon, dan semenjak tiga minggu lalu terhadap Palestin. Tindakan kejam rejim Israel tersebut adalah diluar batas-batas perikemanusiaan serta melanggar norma-norma antarabangsa dan oleh itu perlu dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa. Serangan tersebut juga adalah keterlaluan, zalim ,melampau dan diluar batas-batas keadilan.
Kekacauan yang kini berlaku di rantau ini adalah berpunca dari keangkuhan rejim Israel dan Amerika Syarikat yang enggan menerima dan mengiktiraf Kerajaan HAMAS yang telah memenangi pilihanraya Palestin yang telah diadakan secara bebas dan demokratik. Tindakan ini menampakkan betapa ‘double standard’nya Amerika Syarikat yang kononnya menjuarai ‘demokrasi’ dan ingin mewujudkan Negara-negara yang demokratik di rantau tersebut, tetapi enggan mengiktiraf Hamas apabila ia memenangi pilehanraya di Palestin. Tindakan rejim Israel pula adalah suatu penghinaan bukan sahaja terhadap rakyat Palestin dan Labnon, tetapi terhadap Konsep Negara moden, Kemerdekaan, Demokrasi dan hak sesebuah kerajaan mengendalikan urusannya sendiri.
Adalah terang dan jelas bahawa rejim Israel adalah punca segala kesengsaraan dan penderitaan yang dialami olih beribu-ribu rakyat Palestin semenjak penubuhan Negara Israel pada tahun 1948 hingga kini. Mereka adalah pengganas yang sebenarnya. Mereka mengganas dengan menjajah bumi Palestin, merampas tanah dan hartabenda mereka, membunuh pejuang-pejuang Palestin, memenjara beribu-ribu orang Palestin, samada orang-orang tua, kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak berdosa, dan dalam peristiwa yang mutakhir ini, meluaskan serangannya terhadap Labonon.
Olih yang demikian, demi untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan di bumi Palestin, kami dari Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (MUAFAKAT) mendesak:-
- Rejim Israel segera menghentikan serangannya terhadap Labnon dan Gaza serta berundur dari bumi Palestin dan Labnon beserta dengan bala tenteranya dengan serta merta,
- Mendesak Perdana Menteri Israel supaya segera menerima tawaran Perdana Menteri Palestin dan Hizbullah untuk berunding berhubung dengan pertukaran tawanan perang askar Israel, serta tahanan-tahanan oleh rejim Israel terhadap pejuang-pejuang Palestin, Menteri-menteri mereka, orang-orang awam, orang-orang tua, wanita-wanita dan kanak-kanak serta isu-isu lain yang berkaitan.
- Kuasa-kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat hendaklah menggunakan pengaruhnya mendesak Israel menghentikan serangannya terhadap Labnon dan Palestin dengan serta merta, dan segera ke meja perundingan untuk menyelesaikan masaalah pertukaran tawanan perang, tanah yang dirampas dan lain-lain perkara yang berkaitan
- Regim Israel dan Kuasa–kuasa besar hendaklah mengiktiraf kewujudan Negara Palestin yang bebas dan merdeka serta membenarkan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat khasnya HAMAS untuk memerintah di bumi Palestin, dengan diberi segala kemudahan yang mereka berhak terhadapnya seperti hak keatas wang dipungut sebagai cukai dan royalti, hak bergerak secara bebas dan selamat dalam negara mereka, hak terhadap hasil mahsul mereka dan segala hak yang mereka layak sebagai Negara yang bebas dan merdeka.
- Regim Israel hendaklah membubarkan penempatan-penempatan haram yang telah dibina di atas tanah orang-orang Palestin yang telah mereka rampas selama ini.
- Menggesa Kerajaan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar menangani isu Palestin ini dengan adil dan bertanggungjawab dengan menghormati hak asasi rakyat Palestin sama seperti mana mereka (kuasa-kuasa besar) menyanjung tinggi hak asasi mereka sendiri serta menghormati pilihan rakyat Palestin yang telah memilih secara demokrasi sebuah Kerajaan (iaitu HAMAS) untuk membentuk Kerajaan dan mengurus hal ehwal kebajikan dan keselamatan mereka.
- Mendesak pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa khususnya PBB, OIC dan NAM supaya mengambil langkah-langkah yang sesuai dan berkesan bagi menamatkan perang, melindungi rakyat Palestin dari kekejaman rejim Israel serta berusaha bagi merealisasikan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat serta menamatkan penjajahan Israel di bumi Palestin.
- Menyeru umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia supaya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan apa cara sekalipun samada kewangan, material, tenaga dan doa.
(DATO HAJI AHMAD BIN HAJI ISMAIL)
TIMBALAN PRESIDEN,
PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA
(MUAFAKAT)
16hb. Julai, 2006
20hb. Jamadil Akhir 1427