|
KENYATAAN AKHBAR – ISU PALESTINMUAFAKAT mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kejam dan zalim rejim zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap orang awam Pelestin di Gaza minggu ini yang mengakibatkan pembunuhan lebih 50 orang awam, mencederakan beribu penduduk Palestin dan mengakibatkan kemusnahan rumah kediaman dan hartabenda mereka. Ini adalah tindakan kejam yang kesekian kalinya yang telah dilakukan oleh rejim Israel terhadap penduduk Palestin. Tindakan kejam rejim Israel tersebut adalah diluar batas-batas perikemanusiaan serta melanggar norma-norma antarabangsa dan oleh itu perlu dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa. Tidak hairanlah bahawa antara pihak yang telah mengutuk rejim Israel ialah pihak Kesatuan Eropah (EU) sendiri yang berpendirian bahawa tindakan rejim Israel tersebut adalah keterlaluan, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Kami menyokong kenyataan tersebut yang turut menyatakan bahawa serangan tersebut adalah melampau dan diluar batas-batas keadilan. Adakah adil bagi rejim Israel yang bertindak membunuh begitu ramai rakyat Palestin serta mencedera dan memenjarakan beribu-ribu yang lain semata-mata bagi tujuan mendapatkan pembebasan seorang askarnya? Kekacauan yang kini berlaku di rantau ini adalah berpunca dari tindakan rejim Israel dan Amerika Syarikat yang enggan menerima dan mengiktiraf Kerajaan HAMAS yang telah memenangi pilihanraya Palestin yang telah diadakan secara bebas dan demokratik. Tindakan ini menampakkan betapa ‘double standard’nya Amerika Syarikat yang kononnya menjuarai ‘demokrasi’ dan ingin mewujudkan Negara-negara yang demokratik di rantau tersebut, tetapi enggan mengiktiraf Hamas apabila ia memenangi pilihanraya di Palestin. Tindakan rejim Israel pula adalah suatu penghinaan bukan sahaja terhadap rakyat Palestin dan Hamas, tetapi terhadap Konsep Negara moden, Kemerdekaan, Demokrasi dan hak sesebuah kerajaan mengendalikan urusannya sendiri. |