PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA (MUAFAKAT)
12hb April 2008
KENYATAAN AKHBAR
PERATURAN MENGHENDAKI ORANG YANG MEMELUK ISLAM MEMBERITAHU KELUARGA MEREKA TENTANG STATUS AGAMA MEREKA
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin, merasa terpanggil untuk menyatakan kebimbangan kami berhubung dengan kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa mereka yang ingin memeluk Islam wajib memberitahu keluarga masing-masing tentang hasrat mereka.
Walaupun pada zahirnya peraturan ini nampak baik, tetapi kami ingin meminta Kerajaan supaya mengkaji dengan lebih teliti dan mendalam pro dan kontra peraturan baru ini sebelum ianya di laksanakan. Kami pohon supaya ianya dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam, Majlis-Majlis Ugama Islam Negeri dan di kalangan NGO-NGO berkaitan terlebih dahulu, memandangkan badan-badan tersebut mempunyai banyak pengalaman dalam menangani isu-isu yang timbul daripada penukaran agama kepada Islam.
Kami ingin menjelaskan bahawa mengikut peraturan sekarang, setiap orang yang memeluk Islam dikehendaki mendaftar nama mereka dengan Pendaftar Muaalaf di Jabatan Agama Islam Negeri dimana mereka memeluk Islam. Ini bermakna nama mereka yang memeluk Islam memang ada dalam daftar Muallaf di Jabatan Ugama Islam Negeri masing-masing. Oleh itu sepatutnya tidak timbul soal perebutan mayat seseorang muallaf yang meninggal dunia sekiranya semua pihak patuh kepada peraturan. Kami ingin merujuk kepada kes Muhamad @Moorty Abdullah yang menjadi pertikaian antara keluarganya dan Jabatan Ugama Islam Selangor dahulu. Isunya, keluarganya tidak mahu mempercayai kenyataan Pendaftar Muallaf yang telah memberitahu bahawa Muhamad Moorty telah memeluk Islam iaitu seperti rekod yang ada dalam Daftarnya, tetapi bertegas menyatakan pihaknya tidak diberitahu tentang pemelukan Islamnya. Kemudiannya pula, pihaknya tidak mahu pergi ke Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan dakwaan JAIS tersebut. Kes ini jelas menunjukkan bahawa apabila peraturan baru yang dicadangkan oleh pihak berkuasa ini dilaksanakan masalah perebutan mayat masih boleh berlaku sekiranya pihak keluarga muallaf berkenaan berdegil tidak mahu merestui pemelukan Islamnya walau pun mereka sudah dimaklumkan.
Kami juga memohon Kerajaan supaya memberi penjelasan sama ada peraturan baru ini akan di laksanakan secara menyeluruh sehingga meliputi semua individu yang ingin memeluk Islam, termasuk belia-belia yang telah baligh yang belum berkahwin. MUAFAKAT berharap pihak kerajaan tidak akan mengenakan peraturan-peraturan yang akan menghalang orang bukan Islam daripada memeluk Islam. Kita harus mengambil kira pengakuan banyak muallaf yang bukan sahaja mendapat bantahan keluarga masing-masing tetapi juga pelbagai bentuk ancaman daripada mereka termasuk ancaman bunuh. Sekiranya muallaf dikehendaki memaklumkan hasrat pemelukan Islam mereka kepada keluarga sebelum mendaftarkan diri sebagai seorang Islam mereka bimbang hasrat itu tidak akan tercapai.
Inilah senario yang dihadapi oleh orang-orang yang baru memeluk Agama Islam di negara ini. Kami dapati maklumat ini setelah berbincang dengan Persatuan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), al-Hidayah (Persatuan India Muslim Malaysia) serta Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN). Menurut ajaran Islam kita sepatutnya memudahkan orang-orang bukan Islam memeluk Islam dan bukan mengenakan syarat-syarat tertentu sehingga boleh menyusahkan mereka memeluk Islam, atau sehingga boleh menyebabkan mereka membatalkan langsung niat mereka yang suci itu.
Oleh itu, kami pohon supaya cadangan di atas dikaji semula dengan mengambilkira pandangan berbagai pihak, terutama orang-orang Islam yang terlibat dalam menangani isu cabaran golongan muallaf seperti MACMA, AL-HIDAYAH, ACCIN, serta Majlis-Majlis Ugama Islam Negeri.
.
Terima kasih.
Yang benar,
(DATO HAJI AHMAD BIN HAJI ISMAIL)
TIMBALAN PRESIDEN, MUAFAKAT
Alamat:
25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati,
53100 Kuala Lumpur.
Tel: 019-3199 788, 019-3598512
Fax: 03-4251 0733