|
KENYATAAN AKHBAR (21 JANUARI 2006)
Pada 21 Januari 2006, satu majlis diskusi khas telah diadakan di Petaling Jaya yang dianjurkan oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan yang bernama MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), yang dihadiri oleh lebih 40 orang professional, pakar undang-undang, pakar syariah, ulama’, ahli akademik, badan-badan belia dan wakil-wakil NGO, yang membincangkan perkara-perkara berkaitan berhubung dengan kontroversi berikutan isu M. Moorthy yang telah memeluk Islam. Selepas perbincangan panjang lebar, mesyuarat bersetuju untuk mengeluarkan resolusi berikut: 1. Untuk memberi sokongan penuh terhadap pendirian tegas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, seperti yang dinyatakannya pada 20 Januari 2006 yang telah menyatakan tidak akan meminda Fasal 121(1A) Perlembagaan Malaysia berhubung dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Pendirian tegas YAB Perdana Menteri yang ditunggu-tunggu oleh majoriti penduduk Malaysia, terutamanya orang-orang Islam, telah menolong mententeramkan ketegangan yang telah timbul semenjak beberapa minggu yang lalu diantara orang-orang Islam dan bukan Islam. Orang-orang Islam terutama sekali, sangat curiga dan bimbang terhadap masa depan Fasal 121(1A) tersebut. 2. Mesyarat khas ini berharap pendirian tegas YAB Perdana Menteri akan memberhentikan untuk selama-lamanya apa-apa tuntutan terhadap kerajaan untuk meminda Fasal 121(1A) Perlembagaan Malaysia, dan berharap semua rakyat Malaysia, tanpa mengira ras, kaum dan agama akan menghormati keputusan tersebut, demi untuk keharmonian hidup rakyat Malaysia seluruhnya. 3. Sambil kita dengan tegas mempertahankan status agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia, termasuk mempertahankan kedudukan Mahkamah Syariah dengan bidang kuasanya yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan undang-undang berkaitan, peserta-peserta, dengan berpandu kepada ajaran Islam yang menitik-beratkan keadilan untuk semua, berharap pihak berkuasa akan mengkaji perkara-perkara yang dibangkitkan oleh orang-orang bukan-Islam, berhubung dengan pelaksanaan sistem Mahkamah Syariah. Peserta-peserta percaya satu penyelesaian yang memuaskan akan dapat dicapai, tanpa perlu meminda Fasal 121(1A) Perlembagaan Malaysia. 4. Dengan berpandu kepada pendirian di atas, peserta-peserta membuat keputusan akan terus mengadakan majlis diskusi pada minggu-minggu akan datang, bagi tujuan membantu pihak berkuasa mencari penyelesaian yang berpatutan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh orang-orang bukan-Islam. Peserta-peserta juga bersetuju untuk mengadakan majlis diskusi dengan pemimpin organisasi-organisasi bukan-Islam bagi tujuan mencapai persefahaman, terutama berhubung dengan isu orang-orang memeluk agama Islam ini. Peserta-peserta percaya bahawa dialog antara agama adalah cara yang paling baik untuk mencapai persefahaman antara agama secara berkekalan di negara ini. Sekian. Prof. Emeritus Dato’ Osman Bakar 21 Januari 2006 |